Thursday, 10 January 2013

Aku Yang Menghilang

Hidup pada zaman yang serba moden ini bisa mengurangkan pendedahan kita kepada alam sekitar. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita pastinya dihimpit dengan kesibukan kerja. Tiada lagi pengisian masa dengan alam sekitar. Hubungan kita dengan kehidupan alam juga makin berkurangan. Maka, kasih itu jua sudah makin melayang bagaikan ditiup angin.

Dalam zaman yang serba canggih ini juga, anak-anak tidak lagi dibiarkan bermain di parit sana. Malah, jika ada sekalipun ianya terbatas. Ini juga disusuli dengan prasangka terhadap persekitaran. Masakan tidak, dengan segala macam jenayah yang berlaku, pasti kita berasa gusar dan mengambil langkah berwaspada.

Hari ini aku mahu kongsikan suatu cerita tentang burung. Hantu namanya. Ia adalah sebahagian daripada makhluk Tuhan, yang hidup di dalam alam sekitar. Burung hantu ini sebenarnya juga makin menghilang. Pupus dek kerana kemodenan.

Pagi itu indah seperti biasa. Bak kata Hujan. Tapi apa yang mengejutkan aku dan ibuku adalah kami terjumpa seekor burung hantu di bawah sinki rumah. Besar saiznya! Terpegun sebentar. Tidak perlu lagi berpusu-pusu ke Zoo Negara. Disini jua sudah cukup untuk melihat sendiri haiwan yang makin pupus ini.

Comel juga rasaku. Badannya juga gempal seperti 'teddy bear'. Ketika aku cuba menangkap gambarnya juga, lenanya tidak terganggu. Nyenyak sungguh tidurnya. Makhluk ini mungkin sesat. Mencari jalan pulang. Tapi, yang sedihnya dia mungkin mencari sarang. Tempat tinggalnya.

Rumahku ini di belakangnya hutan. Maka, pada firasatku pastinya makhluk Tuhan ini sedikit terganggu. Terganggu dek pembangunan. Kawasan permainannya yang dahulunya luas, kini makin sempit. Jadi, dia terbang pun mungkin tidak jauh. Jika jauh sekalipun, mungkin dia sesat. Seperti burung hantu ini.

Burung hantu yang comel
Pelbagai kesan boleh berlaku disebabkan pembangunan. Tidak salah membina bangunan di sana sini tapi harus diiringi dengan nilai moral. Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Manusia begitu rakus dengan pembangunan. Bukit ditarah, tanah digali. Maka, makhluk Tuhan yang bernama Bumi itu pun makin lama makin lali. Sehinggakan dia sendiri pun makan hati.

Apa yang ingin disampaikan ialah kurangnya kasih sayang kita pada alam semula jadi. Kita hanya mementingkan hubungan kita dengan manusia sahaja. Tapi kita lupa bahawa kita juga perlu menjaga hubungan dengan sekitaran. Perlu diingat bahawa manusia perlu menjaga hubungan kasih sayang dalam tiga perkara iaitu:

1) Hubungan dengan Tuhan
2) Hubungan dengan manusia
3) Hubungan dengan persekitaran

Jika ketiga-tiga ini dijaga dengan baik, pastinya hidup lebih sejahtera. Adalah diharap agar kita lebih prihatin selepas ini. Sertailah mana-mana badan NGO yang mendokong bumi hijau. Atau dengan menjaga kebersihan sekalipun, sudah memadai untuk menunjukkan sayangnya kita pada alam sekitar.

No comments:

Post a Comment