Monday, 7 January 2013

Tingginya Nilai Satu Sen

Hari ini aku ke tempat kerja seperti biasa. Kerjayaku ini memerlukan kesabaran tinggi. Maklumlah perlu melayan kerenah manusia yang pelbagai.

Hari ini dalam sejarah lagi. Ceritanya begini. Aku berjumpa dengan seorang hamba Allah di tempat kerja. Tujuannya untuk mendapatkan bantuan. Seperti biasa, aku dengan setia cuba membantunya.

"Kak ni dah putus harapan nak oi. Rasa macam nak bunuh diri aje. Sanggup suami akak ada perempuan lain." Panjang keluhannya. Sambil-sambil aku sempat juga berkhayal. "Macam Ombak Rindu la plak." Bisik hatiku.

Aduh. Tiba-tiba aku tersentak. "Awak kan kaunselor, ada tips-tips tak?" Katanya sambil menepuk meja."Err...in shaa Allah akak. Semua masalah pasti ada jalan penyelesaiannya." Lalu aku pun cuba menasihatinya. Menggunakan pengalaman yang sedia ada. Selebihnya aku serahkan pada Tuhan.

Tengah hari. Perut pun terasa lapar. Aku pun segera ke luar untuk mencari sesuatu. Singgah sebentar di kedai makan Nad the Bullet Train. Kedai ini memang pelik namanya. Tapi masakannya cukup sedap. Hingga menjilat jari. Habis sahaja makan, aku segera bangun untuk membuat bayaran. Terkilas pandang di meja sebelah.

Ternampak aku pinggan yang masih ada sedikit baki nasi dan lauk pauk. "Membazir betul." Kataku di dalam hati. Tiba di kaunter bayaran, aku terdengar perbualan. "Semalam kan awak dah beli goreng pisang tu. Bukan makan pun kan." Aku melihat ke tepi. Gelagat dua orang pasangan yang masih muda.

Habis membuat bayaran aku segera keluar. Menyusuri kaki lima jalan. Pasangan tadi berjalan di hadapanku. Mungkin kebetulan kami meletak kenderaan di tempat yang sama. Tetapi langkah kami terhenti sebentar. Ada seorang lelaki tua meminta sedekah. Yang bagusnya, pasangan tadi memberi goreng pisang yang dibeli tadi padanya.

"Terima kasih anak!" Cakapnya berulang-ulang kali. Entah sudah berapa lama perutnya kosong. Kasihan. Lalu aku turut memberi. Tapi dalam bentuk wang memandangkan aku pun tidak punya makanan pada saat itu.

Aku terus berjalan. Untuk sampai ke keretaku, aku terpaksa melintas jalan. "Banyak sungguh kereta hari ini. Mungkin sebab hari isnin." Tiba-tiba aku dihampiri seorang lelaki buta pula. Cuba melintas juga. "Eh pak cik, biar saya tolong pak cik. Pak cik nak melintas juga kan." "Ya nak. Terima kasih banyak-banyak." Senyuman terukir.

Aku memimpinnya. "Terima kasih nak. Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa anak."Katanya. "Tiada apa-apa pak cik. Biasa-biasa saja." Ting! Terdengar duit terjatuh. Aku membongkok. Duit satu sen kepunyaan pak cik itu. "Apa tu nak?" Tanyanya. "Oh, duit satu sen aje pak cik." Kataku.

"Satu sen pun tetap duit nak. Boleh pak cik minta balik?" Terkedu sebentar. Tapi aku terus memberi kepadanya. Jika kita mungkin tidak akan mengerti. Kalau terjumpa satu sen di celah-celah sofa mahupun di atas lantai, mustahil akan kita kutipkan!

Tapi kita seringkali terlupa. Dari satu sen itulah terhasilnya seringgit. Dan dari satu ringgit itulah terhasilnya seratus ringgit. Sebaik saja tiba di pejabat, aku terus menaip di blogku apa yang telah terjadi. Untuk dikongsi akan pengalamanku ini.


No comments:

Post a Comment